Blog ini. Sudah terbongkar kewujudannya. Sudah ada
yang mengetahui tentangnya. Maka dengan itu aku harus lebih waspada. Dalam mengatur
kalam menutur bicara. Post-post sebelumnya yang dirasakan privasi sudah
disembunyikan. Semoga setiap tulisan di dalam ini mampu memberi manfaat. Tidak banyak
biar sedikit. Pengajaran biar kita sama-sama beringat.
Aku jarang percaya pada
cinta sebelum halal. Bahasa mudah, perhubungan dua hati dan jiwa sebelum
kahwin. Namun saat rasa itu datang menjelma, haruskan aku menyingkir?
Aku. Dia. Tiada konflik.
Tiada kisah spesifik. Aku kenal dia pada nama dan rupa. Dan aku tak pasti dia
masih mengingati aku atau sudah lupa.
Perasaan itu hadir
tanpa ku jangka. Ku sangka perasaan biasa-biasa saja. Lalu ku biar ia tanpa
niat menyapa. Dalam diam ia kembang memekar. Memenuhi ruang kamar hati. Aku kah
yang bertanggungjawab membaja kasih?
Dan kini. Aku. Dia.
Berhadapan. Berkerjasama. Mampukah untuk ku terus menjaga hati? Menahan rasa
dari terus memekar. Menahan diri dari keterujaan jiwa. Mampukah?
Persoalannya. Hati kau.
Hati dia. Siapa yang pegang? Kau yakin pada kuasa yang satu itu, kau
istikharahlah.. Mohon petunjuk, mohon kelapangan hati…
Kematian… Hadirnya
tak dijangka… Bila khabar diterima, semua tak menyangka…
7.12.13 – Satu lagi
pemergian insan yang disayangi. Semua tak menjangka. Kerana sepanjang hari
baik-baik sahaja.
Lalu terimbau
kenangan 3 tahun dahulu.
17.5.10
Tarikh keramat ini,
aku kehilangan insan yang paling dicinta. Perginya memang semua sudah
menjangka. Lantaran penyakit yang tak jua kunjung sembuhnya. Namun hati tak mahu
menerima. Kerana mahu terus hidup bersama. Episode itu, akan terus ku kenang
sehayat hidup ku.
Pagi…
--Rutin harian seperti
biasa. Bersalaman sebelum melangkah ke sekolah menagih secebis ilmu. Kondisinya
tidak begitu baik. Namun hati tetap menyimpan harapan agar dia bisa sembuh
kembali.
--Hati tidak
tenang. Seperti ada sesuatu yang bakal terjadi. Bermuram durja dari pagi hari. Disedari
oleh rakan sejati. Tiba-tiba pintu kelas diketuk. Si adik. Memanggil untuk
berjumpa. Katanya “ayahanda suruh pulang, bonda di rumah sedang nazak.” Allah. Bagai
ada halilintar yang membelah hati. Perasaan bercampur baur. Hati remuk redam. Kelopak
mata terasa hangat. Bagai ada cecair yang bergenang di situ. Namun akal
menyuruh bertenang. “kau tak boleh menangis sekarang. Kau kena kuat.”
Allah. Ujian apa yang sedang Kau timpakan.
--Tiba di rumah,
gemaan alunan yasin menyapa telinga. Allah. Kuatkan hatiku. Air mata ditahan
agar tidak tumpah. Senyum cuba diukir menyapa tetamu yang hadir. Beg disimpan
di dalam bilik. Nafas panjang di ambil. Langkah segera di atur ke bilik tengah.
Penuh. Hadirin membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Nafasnya masih ada. Namun sudah
menjelang sakaratul maut. Empangan air mata tak mampu lagi dibendung. Akhirnya ia
tumpah jua. Sambil melantun ayat-ayat suci al-Quran. Surah ar-Ra’d menjadi
pilihan. Dengan harapan dipermudah urusan nyawa. Allah… kuatkan hati ku… Allah…
mudahkan urusan bondaku…
--Dr datang
memeriksa. Katanya tiada harapan lagi. Yang berpengalaman datang menengok
tanda. Katanya tulang belakang sudah jatuh. Cuping telinga juga sudah jatuh. Petanda
bahawa waktu yang ada sudah suntuk. Namun aku masih dengan keyakinan yang
tipis, bonda pasti sembuh. Keajaiban akan berlaku…
Zohor…
--sudah zohor. Aku masih
di situ. Semua menyuruh menunaikan Zohor. Aku bangkit ke kamar mandi. Usai solat
aku kembali ke sisi bonda. Setia di situ membaca ayat-ayat suci. Dan. Di hadapan
mata ku, dia… dia menghembus nafas yang terakhir… aku terkilan… aku terkedu…
aku… ahhh. Aku tidak serius mengajarkannya kalimah syahadah.. oh tuhan… anak
semacam apakah aku ini… dia pergi. Dalam keadaan aku tidak tahu apakah dia
berjaya melafazkan kalimah syahadah itu…aku sendirian di situ.. tiada yang
menyedari. Hanya setelah tangisan ku pecah, semua berkumpul di sisi. Namun dia
sudah pergi.. pergi menghadap Ilahi.. oh tuhan. Penyesalan apa yang cuba Kau
tiup dalam hati ini..
--Aku terus setia di
sisinya. Berusaha menghabiskan sejuzu’ alQuran. Terus setia melantunkan
kalam-kalam suci. Wajahnya… wajahnya perlahan-lahan kulihat tersenyum.. adakah
ini ertinya dia pergi dalam husnul khatimah? Berkatilah ya Allah. Berkatilah bondaku
ya Allah…
Asar… maghrib… isya’…
--Kami saudara-saudara
perempuan diizinkan untuk memandikan jenazah. Air mata ku tahan dari terus
mengalir. Syukur, aib nya terjaga. Dan semoga terus terjaga. Dimandikan. Dikafankan.
Disembahyangkan. Dikebumikan. Kakiku lumpuh untuk terus berdiri. Hampir sahaja
aku rebah menyembah bumi…
--Katanya, ramai
tetamu yang hadir menziarah.. Katanya, ramai jemaah yang menyembahyangkan…
Katanya, ramai yang menghadiri pengebumiannya… aku berharap, semoga itu
petanda husnul khatimah..
15.12.13
Hari ini. Lebih 3
tahun sudah kejadian itu berlalu. Namun memori itu akan ku tetap simpan dalam
ingatan. Penyesalan, terkilan, kesedihan. Semua perasaan itu akan terus terbuku
di dalam hati. Sampai bila? Hanya Allah yang mengetahui…