Monday, 22 July 2013

Sakit yang teruji

*Malam, selepas Tarawih*

Mesin telah selamat dipadamkan. Badan telah selamat terbaring di hamparan peraduan. Namun mata tetap tak mahu terpejam.

Kesakitan yang menjalar memaksa mata untuk terus berjaga. Terkelip-kelip ia memandang ke bumbung rumah. Kesakitan itu, sungguh menguji. Badan menggelupur meronta-ronta kesakitan. Sekejap mengiring ke kanan, sekejap mengiring ke kiri. Terkadang bangun terduduk terbongkok dek kesakitan yang teramat sangat.

Mulut segera melantun doa. Hati sentiasa mengulang-ulang niat. "Ya Allah ya Rahman ya Rahim, ya Hayyu ya Qayyum, sembuhkanlah. Sembuhkanlah. Sembuhkanlah kesakitan yang menimpa diri hamba ini."

Air mata nyaris mengalir dek kesakitan yang teramat. Mata dipaksa untuk terpejam. Telinga dipaksa untuk tertutup. Agar tak terlihat lagi kesibukan dunia. Agar tak terdengar lagi kebisingan alam.

Dan pemandangan pun menjadi gelap....


*1.30 pagi*

Mata celik dengan tiba-tiba.Terasa ingin menunaikan hajat. Lantas tubuh diangkat dari lambung tidur di bawa ke kamar mandi.

Usai urusan, tubuh dibaringkan kembali. Namun mata dan minda tidak mahu bekerjasama dengan baik. Mata menyuruh pejam, minda tidak menurut. Minda terlampau sibuk menahan kesakitan. Tubuh pun terus terguling-guling turut sama menahan kesakitan.

Dan mata terus terbuka.


*2.30 pagi*

Keletihan melawan kesakitan. Kepenatan melawan ngantuk. Mata tetap juga tidak mahu terlena. Tubuh diangkat sekali lagi di bawa ke kamar mandi.

"Bismillahirrahmanirrahim. Sahaja aku mengambil wudhu' kerana Allah ta'ala."

Pintu tandas ditutup. Lampu dipadam. Sejadah dihamparkan. Mukena disarungkan.

"Allahuakbar."

Dalam sujudnya malam itu, seluruh tubuh bekerjasama merayu pada Dia yang maha Kuasa.

"Sembuhkanlah ya Allah. Aku tak tertahan lagi untuk menanggung derita kesakitan ini. Tolonglah ya Allah...."

Semoga kerajaan langit mendengar rintihan seorang hamba yang lemah pada malam itu..


No comments: